KESEDARAN & KEPENTINGAN KESIHATAN MENTAL

Pandemik COVID-19 yang melanda telah memberi impak yang besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia termasuklah rakyat Malaysia. Ramai yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan. Masalah ini terjadi apabila seseorang itu mengalami tekanan yang melampau serta tidak mendapat sokongan yang diperlukan dari keluarga dan sahabat untuk tempoh yang lama.

Setiap individu terdedah kepada masalah kesihatan berkaitan mental tanpa mengira usia dan jantina. Oleh itu, tingkatkan kesedaran dalam diri agar anda lebih bijak menanganinya jika ia berlaku kepada diri sendiri atau insan tersayang. Teruskan membaca untuk memahami isu kesihatan mental ini dengan lebih lanjut.

"Setiap individu terdedah kepada masalah kesihatan berkaitan mental tanpa megira usia dan jantina."

APAKAH KESIHATAN MENTAL?

Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial anda. Ia mempengaruhi bagaimana anda berfikir, merasa dan bertindak. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental adalah “keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari keupayaannya sendiri, dapat mengatasi tekanan normal kehidupan, dapat bekerja dengan produktif dan bermanfaat serta mampu memberi sumbangan kepada komuniti”.

APAKAH PENYAKIT MENTAL?

Penyakit mental boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang agak ringan dan hanya menyebabkan kecelaruan yang terhad terhadap kehidupan seharian. Ada pula yang lebih berat sehingga memerlukan rawatan hospital dan rawatan perubatan. Semua ini terjadi kerana berlakunya perubahan dalam rutin kehidupan, gangguan pada pemikiran, emosi atau tingkah laku (atau mana-mana gabungan semua ini).

MENGAPA IA TERJADI DALAM KEHIDUPAN?

Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada masalah kesihatan dan mengakibatkan seseorang itu mengalami penyakit mental, antaranya:

  • Pengalaman hidup yang teruk seperti trauma atau sejarah penyalahgunaan seperti penderaan kanak-kanak dan serangan seksual.
  • Pengalaman yang berkaitan dengan penyakit perubatan kronik yang berterusan seperti strok, kanser atau kencing manis.
  • Faktor biologi seperti ketidakseimbangan bahan kimia dalam otak.
  • Pengambilan alkohol atau dadah secara rekreasi.
  • Kurang pendedahan atau interaksi sosial.
  • Mempunyai perasaan kesepian atau pengasingan.
  • Sejarah keluarga yang ada masalah kesihatan mental.

4 JENIS PENYAKIT UMUM BERKAITAN MENTAL

  • Kemurungan atau depression – Mempengaruhi lebih daripada 264 juta orang di seluruh dunia pada 2017. Walaupun dianggap biasa dan boleh dirawat, ia boleh menjadi serius kerana ianya berupaya mempengaruhi emosi dan tingkah laku.
  • Keresahan atau anxiety – Berlaku apabila tindak balas dalam sesuatu situasi melangkaui kebiasaan. Ia menimbulkan rasa gemuruh, takut atau khuatir yang disertai gejala fizikal seperti menggeletar atau mual.
  • Kecelaruan Bipolar atau bipolar disorder – Kecelaruan psikiatri yang boleh menyebabkan perubahan luar biasa terhadap peningkatan perasaan, tenaga, aktiviti serta keupayaan untuk menjalankan tugas harian.
  • Skizofrenia – Penyakit kecelaruan psikiatri yang boleh mempengaruhi fikiran, perasaan dan kelakuan pesakit. Individu pada tahap teruk mungkin mengalami gejala kronik sehingga boleh menjejaskan kehidupan.

SALAH FAHAM, STIGMA & DISKRIMINASI

Malangnya ramai yang mempunyai persepsi negatif terhadap penyakit mental dan masalah kesihatan berkaitan mental. Perbuatan melabel individu tersebut sebagai gila, tidak stabil, bahaya, ganas dan mengada-ngada boleh menyumbang kepada perkara yang lebih buruk. Perbetulkan persepsi yang salah dengan memahami fakta yang betul, antaranya:

✗ TERAPI & SOKONGAN HANYA MEMBAZIR MASA

✔ Ramai yang pulih kerana menjalani terapi bersama pakar terlatih. Mereka mendapat sokongan daripada orang di sekeliling sepanjang proses pemulihan. Ketahui tahap kesihatan mental anda menggunakan Ujian Skala Kemurungan, Kebimbangan dan Tekanan (DASS). DASS ialah panduan untuk mengenalpasti simptom dan indikator awal sama ada anda perlukan rawatan kesihatan mental atau tidak. Ujian ini akan dinilai oleh penilai terlatih seperti doktor atau pakar psikiatri. Dapatkan borang DASS yang disediakan di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM).

 

✗ BERTINDAK GANAS & TIDAK DAPAT DIRAMALKAN ADALAH SIFAT PENYAKIT MENTAL

✔ Ini bukanlah sifat penyakit mental dan ia bukan punca masalah kesihatan mental. Hanya 3% – 5% individu yang mempunyai masalah mental yang serius sahaja bertindak ganas. Sebaliknya, individu dengan penyakit mental yang teruk adalah 10 kali lebih cenderung untuk menjadi mangsa jenayah ganas daripada orang biasa.

"Perbuatan melabel individu tersebut sebagai gila, tidak stabil, bahaya, ganas dan mengada-ngada boleh menyumbang kepada perkara yang lebih buruk."

DAPATKAN BANTUAN & SOKONGAN YANG TEPAT

Anda boleh mendapatkan bantuan untuk diri sendiri atau memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dengan menghubungi:

  • Perkhidmatan Kesihatan Mental & Sokongan Psikososial (MHPSS) – di talian 03 – 2935 9935 atau 014 – 322 3392;
  • Talian Kasih – melalui aplikasi WhatsApp 019 – 261 5999
  • (bantuan aduan keganasan rumahtangga, penderaan dan lain-lain);
  • KSK-Care – JAKIM melalui aplikasi WhatsApp 0111 – 959 8214; atau
  • Befrienders – Kuala Lumpur di talian 03 – 7627 2929.

Akhir kata, ambil inisiatif untuk tingkatkan kesedaran terhadap masalah kesihatan mental dan dapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai penyakit mental agar anda lebih bersedia jika berhadapan dengan situasi berkaitan. Seperti penyakit fizikal yang lain, tidak ada apa yang harus dimalukan. Pastikan kita sedar akan kepentingan kesihatan mental agar dapat menjalani kehidupan seharian dalam suasana yang harmoni dan sejahtera.