MAKANAN KOREA: SEDAP VS SIHAT

Tahukah anda? 95% rakyat Malaysia tidak mengambil serat yang mencukupi setiap hari. Ini boleh dikaitkan dengan gaya hidup moden yang tidak sihat dan pemakanan kita yang sering kekurangan sayur-sayuran dan buah-buahan segar

Pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana orang Korea memiliki kulit yang kelihatan bersih, cantik dan sihat tanpa solekan atau ianya hanya manipulasi gambar? Bagi orang Korea, makanan adalah ubat. Mereka mengamalkan prinsip “You Are What You Eat” (Anda adalah apa yang anda makan). Mereka juga percaya, makanan adalah penting untuk kesejahteraan fizikal dan emosi seseorang.

Apa agaknya amalan pemakanan harian mereka sehingga boleh memiliki kulit yang mulus dan berseri? Kenali hidangan Korea yang boleh dijadikan panduan dan amalan pemakanan sihat kita. Gaja!

MAKANAN KOREA: POPULAR & SIHAT

Secara amnya, makanan Korea sangat sihat dan majoritinya mempunyai jumlah lemak dan karbohidrat yang rendah. Buktinya, kebanyakan babak menjamu selera dalam drama Korea memaparkan aksi menikmati makanan jenis rebusan, panggang dan bersama banchan (sajian sampingan) yang berasaskan sayur-sayuran, kimchi (jeruk sayur) atau jeon (lempeng) dan banyak lagi.

Selain ianya enak dan berkhasiat, ia juga dikatakan menyihatkan kerana cara penyediaan serta kaedah memasak yang tidak memusnahkan nutrien di dalamnya. Antara makanan yang dimaksudkan ialah:

1. Kimchi

Kimchi diperbuat daripada sayur seperti kubis dan lobak. Ia dijeruk dengan kaedah perapan bersama bahan lain seperti lada merah, bawang putih, halia dan ikan bilis. Kimchi mengandungi probiotik, vitamin A, B dan C serta zat besi, kalium dan juga kalsium. Ia adalah sumber serat makanan yang baik; rendah lemak dan kalori.

Membantu menurunkan berat badan

Kajian yang dilakukan selama 4 minggu terhadap 22 orang yang mempunyai berat badan berlebihan mendapati bahawa memakan kimchi dapat membantu mengurangkan berat badan, indeks jisim badan (BMI) dan lemak dalam badan. Ia juga berupaya menurunkan kadar gula dalam darah dan kolesterol LDL (low-density lipoprotein).

Tapi awas! Pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi atau kanser perut. 

2. Bibimbap

Bibimbap tradisional diperbuat dengan daging lembu dan kuning telur mentah bersama sayur-sayuran. Kini, terdapat juga pilihan bibimbap moden yang boleh dicuba di restoran atau disediakan sendiri mengikut citarasa.

Sumber nutrien yang baik

Vitamin A yang diperolehi daripada lobak merah dan nori (rumpai laut kering) di dalam resipi bibimbap memberikan anda manfaat penuh kerana ia diperkaya dengan serat, asid amino penting serta vitamin A, B, C, dan E. Tidak dilupakan juga kandungan antioksida daripada sayur-sayuran seperti zukini, cendawan hitam (shitake) dan tauge di dalam bibimbap anda.

MAKANAN KOREA: VIRAL & SEDAP

Terdapat juga makanan Korea yang sedap namun kurang menyihatkan. Makanan jalanan seperti bindaetteok (lempeng kacang hijau), gamja corn dog (sosej bersalut tepung) atau hweori gamja (kentang tornado) adalah antara makanan yang menjadi kegemaran ramai, namun tidak sesuai diambil secara berlebihan kerana kandungan sodium dan karbohidrat yang tinggi serta menggunakan kaedah penyediaan seperti menggoreng. Tidak kurang juga ramyeon (mi segera) dan chikin (ayam goreng Korea) yang begitu popular sehingga tular di negara kita!  

1. Ramyeon

Ramyeon senang untuk disediakan kerana tidak memerlukan kemahiran memasak. Ia juga boleh diperolehi hampir di mana-mana dalam pelbagai perisa berbeza.

Kurang nutrien utama

Sebungkus ramyeon mengandungi 317 kalori tanpa nutrien. Jumlah tersebut sepatutnya adalah satu hidangan lengkap yang mengandungi protein, sayur-sayuran dan karbohidrat kompleks.

Kandungan sodium yang tinggi dalam satu hidangan

Diet yang tinggi garam sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser perut, penyakit jantung dan strok. Sesetengah individu tidak digalakkan mengambil makanan ini kerana kandungan natriumnya yang tinggi boleh meningkatkan tekanan darah serta memberi kesan negatif kepada kesihatan jantung dan buah pinggang.

2. Chikin (Ayam Goreng Korea)

Makanan bergoreng mengandungi dua makronutrien yang tinggi iaitu lemak dan karbohidrat.

Menurut Reuters Health, individu yang memakan ayam goreng setiap hari mungkin mempunyai lebih 13% risiko mati lebih awal daripada orang yang mengelakkan makanan ini. Begitu juga menurut seorang pengkaji dari University of Iowa di Amerika Syarikat, bahawa menikmati makanan bergoreng meningkatkan jumlah pengambilan kalori dan risiko obesiti yang berkaitan dengan peningkatan risiko kematian.

Memetik kenyataan Dr. Clyde Yancy dari Sekolah Perubatan Feinberg Northwestern University di Chicago, “Ayam dan ikan secara umumnya dianggap sebagai pilihan makanan ‘sihat hati’ tetapi proses menggoreng mengubah kesan kesihatan”.

Jadi, kawal pengambilan makanan bergoreng anda. Kurangkan pengambilan makanan seperti ayam goreng keju leleh Korea yang diolah dengan pelbagai bahan perasa seperti bahan aditif, pengawet atau perasa tiruan. Pastikan ia bukan pilihan utama untuk anda yang berisiko menghidap diabetes jenis 2 dan penyakit berkaitan jantung.

Kesimpulannya, pastikan anda menitikberatkan aspek kesihatan dalam amalan pemakanan seperti yang diamalkan orang Korea untuk kesihatan jangka panjang. Makanlah secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan sehingga boleh menimbulkan kemudaratan. Tidak menjadi kesalahan untuk menikmati makanan kegemaran, asalkan anda tahu menilai kebaikan dan kemudaratan dalam setiap sajian!